APA KATA.. WUJUDKAN TABUNG BONUS KAKITANGAN AWAM

Sebaik selesai pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada setiap pembentangan Bajet negara. Dalam kalangan kakitangan awam sudah pasti akan bertanya sama ada terdapat pemberian bonus oleh kerajaan atau tidak. Biasanya kerajaan akan berikan sebulan gaji di bayar sebanyak dua kali atau separuh bulan gaji dibayar penuh. Keluhan akan biasa kedengaran apabila ada yang mengeluh “Sebulan saja??” Mulalah ada yang menuduh mereka kurang bersyukur.




Kebanyakan dari pada kakitangan awam pula ada yang cemburu dengan kakitangan swasta terutamanya di syarikat besar multinasional. Mereka biasanya menerima bonus besar sehingga berbulan-bulan kadang-kadang. Masa itulah kakitangan swasta ni bergaya dengan menukar rim kereta, menukar kereta, membeli hartanah di sana sini. Di sini saya lihat wujudnya jurang pemberian bonus yang amat besar. Memang lah kakitangan awam ada kemudahan membuat pinjaman peribadi di bank berbanding pekerja swasta yang susah dapat pinjaman. Tapi itu hutang berbanding kakitangan swasta iaitu bonus yang tak perlu dibayar balik.

Memang saya akui, pemberian bonus ini membawa banyak manfaat kepada orang ramai terutamanya penjawat awam gred 27 dan ke bawah yang kebanyakannya datang dari keluarga berpendapatan sederhana. Betapa gembiranya hati mereka jika diumumkan bonus diberi dan bermacam-macam perkakas dibelikan untuk keluarga dan anak-anak.

Saya pernah menulis cadangan ini di blog Perdana Menteri berkenaan cadangan mewujudkan Tabung Bonus Kakitangan Awam 1Malaysia bagi cuba mendekatkan jurang pemberian bonus ini dalam kalangan pekerja swasta dan pekerja kakitangan awam. Kita mengetahui bahawa untuk memberi bonus yang tinggi kepada kakitangan awam, ia memakan belanja kerajaan sehingga berbilion ringgit. Oleh itu, saya mencadangkan agar Tabung ini digunakan untuk memberikan bonus kepada sejumlah kakitangan awam melebihi dua bulan berdasarkan permohonan kepada mungkin Jabatan Perkhidmatan Awam atau Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Kakitangan awam yang mahu memohon bonus melalui tabung ini bolehlah dikhususkan kepada mereka yang sudah disahkan jawatan dan berkhidmat melebihi tempoh lima tahun. Sebab permohonan rasanya tak perlu dikhususkan mereka boleh letakkan sebab apa sahaja, untuk menambah baik rumah, untuk menanggung perkahwinan anak, untuk membeli kereta, untuk menunaikan umrah. Apa sahaja sebab asalkan bukan untuk melakukan jenayah. Kemudian, Tabung ini bolehlah juga diuruskan oleh sebuah Panel Penilai untuk menilai prestasi dan kewajaran meluluskan bonus itu.

Jika difikirkan berdasarkan prestasi kerja, wajar diluluskan bonus melebihi 2 bulan bolehlah diluluskan mungkin 3 bulan gaji, 4 bulan gaji dan juga mungkin mencecah 6 bulan gaji bergantung pada peruntukan tabung berkenaan. Selepas seseorang kakitangan awam menerima pembayaran bonus mereka dilarang daripada membuat permohonan baru dalam tempoh 3 atau 4 tahun. Ia untuk memberi peluang kepada kakitangan lain pula membuat permohonan. Dengan cara ini pada saya kakitangan awam akan dapat merasa pemberian bonus yang lebih berbanding biasa. Dapatlah mereka juga melaksanakan mungkin perancangan untuk mendapatkan rumah lebih besar ataupun membeli barang keperluan dan tak kurang juga mungkin pergi bercuti dengan keluarga.

 

 

Bookmark and Share
ENTRI DITERBITKAN PADA by Ibnu K Dalam CUIT-CUIT

Komen di Facebook: